TAMPIN: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Sungai Kelamah, di sini dengan membawa bayi perempuannya yang berusia dua bulan.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, laporan polis mengenai kehilangan Nurul Asmiera Kardi, 22, dibuat pengadu iaitu ibunya pada pukul 5.48 pagi, semalam.
Menurutnya, wanita muda itu dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 3.07 pagi dan pengadu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya dan bayi berkenaan.
“Bagaimanapun, punca dia keluar dari rumah masih belum diketahui. Ciri-ciri fizikal Nurul Asmiera, dia berketinggian lebih kurang 155 sentimeter, memakai tudung dan berkulit sawo matang.
“Ketika keluar dari rumah, Nurul Asmiera dipercayai memakai baju kurung hitam jalur putih. Ibu muda ini juga turut membawa barang-barang kelengkapan bayinya semasa keluar,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan Nurul Asmiera diminta untuk menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes ASP Mohd Rodzi Md Saad ditalian 07-9481221 atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin ditalian 06-4431999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.