Ibu bapa Zayn Rayyan mohon dilepas, bebas

Ibu bapa Zayn Rayyan mohon dilepas, bebas

ZAIM Ikhwan Zahari (kiri) bersama isterinya, Ismanira Abdul Manaf (tengah) hadir ke Mahkamah Petaling Jaya di sini semalam bagi sebutan semula kes pengabaian Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kematian. - Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan permohonan agar mereka dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan mengabaikan anaknya.

Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, memfailkan notis usul membatalkan pertuduhan itu menerusi firma guaman, Tetuan Wong & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh pada sebutan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh.

Semasa prosiding, Haresh berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi anak-anak guamnya dan memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan bermula 3 Februari ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.

“Kami juga telah menyerahkan salinan (permohonan notis usul) kepada Jabatan Peguam Negara menerusi emel, semalam. Sekiranya perbicaraan dijalankan tanpa menunggu keputusan berhubung permohonan itu, perbicaraan kes akan menjadi sia-sia,” katanya.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula pada 20 Januari lalu namun ditangguhkan kepada 3 Februari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin kemudian mengesahkan penerimaan permohonan yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh.

“Permohonan (notis usul) baru masuk dua hari lalu, jadi pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan pada minggu hadapan bagi mengemas kini status permohonan yang sudah difailkan,” katanya.

Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Dr. Syahliza kemudiannya menetapkan 28 Januari ini bagi pengurusan kes.

Sementara itu, menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul yang diperoleh media, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. 

“Kami membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa, kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.

“Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami, oleh itu kami tidak dapat menyediakan pembelaan,” kata pasangan itu.

Dokumen itu turut menyatakan kedua-dua pemohon percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sekali gus tidak diberi hak perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan. 

“Kami benar-benar percaya pertuduhan itu harus diketepikan dan dibatalkan kerana kekurangan butiran yang serius,” katanya menerusi dokumen itu.

Selain itu, pemohon-pemohon berkata semua pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah Sesyen dan telah diprejudiskan dengan serius selain memohon dibebaskan serta-merta.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu kesemua dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya