GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengakui faktor hujan lebat sejak seminggu lalu menjadi punca kepada jalan di Pos Balar dan Belatim di sini rosak sekali gus menyaksikan lebih 50 pelajar Orang Asli terpaksa menempuh perjalanan lebih 15 jam untuk pulang ke rumah sempena cuti sekolah.
Jurucakap JKOA berkata, tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memasuki kawasan penempatan Orang Asli tanpa kebenaran menggunakan kenderaan yang banyak turut menjadi penyumbang kepada rosakan di laluan berkenaan.
Menurutnya, situasi itu sekali gus mengganggu pergerakan masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Pada masa ini, laluan dari Kampung Kuala Suma ke Pos Bihai dan Pos Belatim termasuk dalam Projek Jalan Perhubungan Desa (Kuala Betis-Pos Bihai-Pos Belatim-Pos Balar-Pos Hau- Kuala Betis) yang sedang dalam pembinaan.
“Kerja-kerja dan dijangka siap pada tahun 2028. JAKOA sentiasa memantau pelaksanaan projek tersebut dan melarang segala aktiviti kemasukan ke kawasan Orang Asli tanpa kebenaran,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan lebih 50 pelajar Orang Asli terpaksa menempuh perjalanan lebih 15 jam untuk pulang ke rumah mereka di Pos Balar dan Pos Belatim di sini apabila jalan tanah rosak teruk akibat hujan sejak seminggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, situasi itu terpaksa ditempuh pelajar Orang Asli setiap kali mereka pulang sempena cuti sekolah ketika cuaca hujan.
Katanya, pelajar yang menaiki tujuh buah kenderaan pacuan empat roda itu terpaksa menempuh perjalanan dengan keadaan jalan berlumpur dan kenderaan dinaiki mereka tersangkut beberapa kali.-UTUSAN