KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) menyeru dan akan menggerakkan seramai mungkin ahlinya bagi menyertai himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari ini di Putrajaya.
Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, ia atas prinsip ‘rule of law’ dan proses perundangan yang mana pertubuhan itu percaya bahawa Titah Adendum itu sahih dan benar-benar wujud.
“Apa yang utamanya, kami turun ke Putrajaya bukan kerana insan bernama Najib Razak, tetapi sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung Titah Adendum supaya bekas Perdana Menteri tersebut menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
“Psap mahukan keadilan dan kebenaran kerana sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil menyatakan bahawa Titah Adendum palsu dan tidak wujud,” katanya di sini hari ini.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Dalam permohonan yang difailkan pada April lalu, Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Pada 3 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas ahli Parlimen Pekan itu apabila memutuskan empat afidavit menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima pakai kerana ia khabar angin semata-mata.
Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum.
Bagaimanapun, pada 28 Disember lalu, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa semua permohonan pengampunan termasuk kes membabitkan Najib perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jelas jabatan itu, semua urusan berkaitan perlu dibuat mengikut tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain. – UTUSAN