KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mengingatkan orang ramai khusus buat masyarakat Cina untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang taktik penipuan scammer menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, scammer cenderung memanfaatkan situasi seperti perayaan untuk memperdaya mangsa, khususnya golongan warga emas.
“Tolong hati-hati. Ketika kita sedang bersiap untuk menyambut Tahun Baharu Cina, ramai scammer akan mengambil peluang untuk menipu.
“Khususnya kepada mereka yang membawa keluar wang untuk memberi angpau kepada keluarga.
“Kalau ada yang menjadi mangsa penipuan, terus hubungi talian 997. Kita boleh cuba menghentikan pemindahan wang itu dan (mangsa perlu) buat laporan polis,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menyampaikan bantuan perayaan kepada lebih 700 keluarga menerusi program Sumbangan Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa penipu siber biasanya cekap membaca trend dalam kalangan pengguna, contohnya semasa musim perayaan atau acara tertentu seperti musim haji.
“Mereka tahu siapa sasaran mereka. Sebelum musim haji, scammer mungkin mensasarkan mereka yang menyimpan di Tabung Haji. Ketika Tahun Baharu Cina, mereka akan mencari mangsa dari kalangan yang menyambut perayaan ini,” ujarnya.
Fahmi turut memberi amaran tentang penipuan pelaburan yang menyasarkan golongan warga emas.
“Penipuan pelaburan ini sangat menyedihkan. Ada yang kehilangan semua simpanan mereka (warga emas) kerana terlalu mudah percaya,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai agar sentiasa menyemak sebarang maklumat yang diterima dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon atau mesej mencurigakan.