PAPAR: Kajian berkaitan usaha menstabilkan harga barang keperluan di Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan dibentang pada hujung bulan ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kajian berkaitan langkah menstabilkan harga barang keperluan di kedua-dua negeri ini telah pun siap pada Disember tahun lalu dan akan dibentangkan pada akhir bulan ini.
Beliau berkata, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri mengenal pasti isu-isu yang berkaitan termasuklah harga ayam dan harga beras putih import bersubsidi.
“Jika dilihat kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM300 juta bagi subsidi beras putih import kerana beras putih di negeri ini lebih rendah berbanding di Semenanjung Malaysia.
“Pemberian subsidi itu dilakukan kerana jurang harga antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung serta bekalan beras tempatan yang lebih rendah di sini berbanding Semenanjung.
“Malah, penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak juga masih dikecualikan kerana harga barang jualan yang tinggi di kedua-dua negeri ini berbanding di Semenanjung,” katanya selepas majlis pecah tanah Kinarut Palm City, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa mengulas tentang kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mendakwa tiada usaha diambil dalam menstabilkan harga ayam di Sabah.
Katanya, beliau tidak ingin memberi respon kepada kenyataan yang tidak disertakan dengan bukti dan sekiranya benar harga barang keperluan mahal maka perlu memaklumkan kepada KPDN yang sentiasa melakukan pemantauan secara harian.
“Kajian yang dibentangkan itu bukan hanya membabitkan KPDN tetapi juga kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang memantau sumber bekalan di pasaran,” katanya.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, menerusi kajian yang dilakukan UMS dan Unimas itu jelas menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah harga barang yang tinggi di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN