KOTA BHARU: Kesan hakisan pantai sama ada disebabkan faktor alam semula jadi iaitu ombak atau pembangunan infrastruktur boleh mengubah landskap peta khususnya di kawasan semenanjung Malaysia.
Ini kerana garisan pantai berubah yang mana ada bahagian menghakis dan sebahagian lagi bertambah lebar melalui proses mendap.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, hakisan berkemungkinan besar mengubah peta negara ini jika ia terus berlaku.
“Kawasan yang sebelum ini daratan ditenggelami air kerana kesan hakisan itu. Di sebaliknya, ada kawasan yang ditenggelami air sebelum ini mendap menjadi daratan.
“Kawasan yang tenggelam itu menjadi sebahagian badan air dan kawasan yang mendap itu menjadi daratan. Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada perubahan yang berlaku kepada garisan pantai, sama ada perubahan yang dilakukan oleh manusia atau yang berlaku secara semulajadi akibat perubahan iklim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini melaporkan, negeri-negeri Pantai Timur semakin hilang kawasan daratannya apabila garis pantai di Terengganu, Pahang dan Kelantan mengalami hakisan sejauh 175 kilometer (km) sepanjang tahun lalu.
Jarak hakisan itu melibatkan 49 lokasi dengan Terengganu paling banyak terjejas iaitu 34 kawasan sejauh 66.09 km di ikuti Pahang (11 kawasan sejauh 100 km) dan Kelantan empat kawasan (9.2 km).
Data itu adalah berdasarkan pemantauan serta kajian dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ketiga-tiga negeri.
Situasi itu bukan sahaja menyebabkan penyusutan kawasan daratan tetapi menjejaskan keindahan pesisir pantai sebagai lokasi pelancongan, penempatan penduduk dan aktiviti ekonomi.
Aweng berkata, isu kawasan daratan yang ditenggelami air berlaku di seluruh dunia sama ada disebabkan oleh hakisan atau peningkatan paras air laut.
“Kita tidak dapat menentukan lokasi dan masa yang spesifik kecuali dengan melakukan analisis secara mendalam,” ujarnya.-UTUSAN.