MELAKA: Seorang guru lelaki ditahan selepas disyaki mencabul kehormatan dua murid perempuan berusia 12 tahun dalam kawasan sebuah sekolah di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 44 tahun itu dijalankan susulan laporan dibuat pengadu yang juga guru besar sekolah berkenaan kira-kira pukul 12.48 tengah hari semalam.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah hantu yang dibuka dalam kawasan sekolah sempena Hari Karnival Sekolah berlangsung Sabtu ini.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Paya Rumput kira-kira pukul 10.25 malam, semalam. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek yang telah berkahwin ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah Md. Nazri, siasatan awal mendapati suspek mempelawa kedua-dua mangsa memasuki rumah hantu sebelum bertindak mencabul mereka dari arah belakang.
“Mangsa pertama mendakwa suspek telah memegang payu daranya tetapi tidak berani melawan kerana ketakutan sementara mangsa kedua turut dicabul pada bahagian sama termasuk kemaluan.
“Kedua mangsa mengecam tangan suspek kerana bertubuh besar selain hanya suspek sahaja yang berada di belakang mangsa.
“Pengadu kemudian memanggil suspek dan bertanyakan dakwaan kedua mangsa tetapi lelaki itu menafikannya. Pengadu mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” ujarnya.