PETALING JAYA: Peruntukan dibelanjakan kerajaan untuk diskaun tol pada musim perayaan sepatutnya digunakan untuk tujuan lebih berhemah bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Shahrim Tamrin berkata, keputusan pusingan-U menggunakan wang pembayar cukai untuk perjalanan lebuhraya akan memberi kesan negatif.
Jelasnya, langkah itu juga bersifat mundur dan mendakwa kerajaan akan membelanjakan RM640 juta untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya sejak lima tahun lalu.
“Ia sepatutnya menjadi permulaan yang baik untuk 2025 bagi kerajaan untuk tidak terlibat dalam perihal politik-ekonomi di sebalik dasar yang mementingkan penggunaan kenderaan persendirian di mana wang pembayar cukai harus disalurkan untuk tujuan lain yang lebih bermakna.
“Kemungkinan besar, akan ada lebih banyak perbelanjaan yang tidak perlu oleh kerajaan untuk tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, yang bukan sahaja menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian tetapi ia akan mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk, pencemaran udara dan pencemaran bunyi.
“Sebelum ini, tanpa diskaun atau tiada hari bebas tol, orang ramai tetap pasti menggembara semasa tempoh perayaan seperti mana yang jelas dilihat selama ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Shahrim berkata, jumlah besar RM640 juta duit pembayar cukai sepatutnya digunakan dengan lebih mampan dan berhemah untuk tujuan lain seperti menambahbaik pengangkutan awam dan infrastruktur jalan raya.
Beliau turut mendakwa terdapat kecelaruan membabitkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan anggota Kabinet.
“Selepas perasmian rasmi Seksyen 2 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) Selasa lalu, Alexander memaklumkan kepada wartawan bahawa Kabinet telah memutuskan pada tahun lepas bahawa tiada lagi peruntukan tol percuma untuk musim perayaan pada 2025.
“Alexander menyatakan bahawa kerajaan sedang mengkaji pendekatan yang lebih bersasar untuk membantu rakyat menggantikan kaedah pemberian tol percuma ketika musim perayaan.
“Sehari kemudian, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa keputusan menghentikan pemberian tol percuma semasa perayaan adalah keputusan Kabinet berikutan saranan dan cadangan Menteri Kerja Raya.
“Bagaimanapun, dalam tempoh 48 jam selepas kenyataan Zahid Hamidi dan Alexander, Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa keputusan kabinet akan dikaji semula dan keputusan baru bakal dicapai di mesyuarat Kabinet pada dua hari lalu,” katanya.