PETALING JAYA: Perbelanjaan kerajaan untuk diskaun tol pada musim perayaan sepatutnya digunakan secara berhemah bagi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Shahrim Tamrin berkata, keputusan pusingan-U menggunakan wang pembayar cukai untuk perjalanan lebuh raya akan memberi kesan negatif.
Katanya, langkah itu bersifat mundur dan mendakwa kerajaan akan membelanjakan RM640 juta untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya sejak lima tahun lalu.
“Ia sepatutnya menjadi permulaan yang baik untuk 2025 bagi kerajaan untuk tidak terlibat dalam perihal politik-ekonomi di sebalik dasar yang mementingkan penggunaan kenderaan persendirian di mana wang pembayar cukai harus disalurkan untuk tujuan lain yang lebih bermakna.
“Kemungkinan besar, akan ada lebih banyak perbelanjaan yang tidak perlu oleh kerajaan untuk tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, yang bukan sahaja menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian tetapi ia akan mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk, pencemaran udara dan pencemaran bunyi.
“Sebelum ini, tanpa diskaun atau tiada hari bebas tol, orang ramai tetap menggembara semasa perayaan,” katanya dalam kenyataan.
Shahrim berkata, jumlah besar RM640 juta duit pembayar cukai sepatutnya digunakan dengan lebih mampan dan berhemah untuk tujuan lain seperti menambahbaik pengangkutan awam dan infrastruktur jalan raya.
Katanya, semua kemudahan itu amat diperlukan oleh rakyat dan lebih berbaloi jika dinaiktaraf secara keseluruhan.