KOTA KINABALU: Biarpun sudah berulang kali menyuarakan agar bergabunglah sesama parti tempatan namun, tiada respon positif yang diterima Parti Warisan (Warisan).
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sudah banyak kali beliau mencadangkan perkara sedemikian namun, ia tidak mendapat respon positif.
“Saya sudah suarakan bergabunglah dengan parti tempatan, berbuih mulut saya. Berapa tahun sudah (disuarakan). Apa respon yang saya terima, mereka (GRS) kata tidak mahu kerjasama dengan Warisan, terserah kepada mereka.
“Apabila saya cakap tentang penyatuan, ia bukanlah bersatu demi ketamakan kuasa mahupun jawatan. Kita kena bersatu sebagai Sabahan untuk menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya selepas Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu anjuran Warisan, di sini semalam.
Katanya, pemimpin-pemimpin Sabah perlu bersatu bagi menyelesaikan masalah rakyat dan bukannya demi kepentingan peribadi mahupun kepentingan parti.
Mengulas lanjut katanya, dakwaan menyatakan Warisan sedang mengadakan perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), ia sekadar cakap-cakap orang.
Ditanya mengenai Himpunan Aman Bangkit Sabahan anjuran Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) yang mengaitkan namanya dalam isu rasuah, Mohd. Shafie berkata, beliau sudah pun dipanggil dan disiasat selama dua minggu sehingga rumahnya digeledah namun, tiada wang ditemukan.
Tapi, rakaman video mengenai skandal rasuah baru-baru ini jelas menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan mengakui tidak cukup wang untuk dipulangkan semula.
Perhimpunan yang mengaitkan namanya dengan isu rasuah hanya sekadar ingin mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang sedang berlaku.
“Jadi, saya tidak mahu menyanyikan lagu seperti yang mereka inginkan. Kita tunggu apa langkah diambil berkaitan rakaman video berkenaan.
“Kalau benar kita cuba mengatasi masalah rasuah di negara ini, atasi masalah ini. Jangan dendangkan lagu (kes rasuah) yang lama,” katanya. – UTUSAN