Sembilan masih dijaga JKM, 60 ditentukan minggu depan

GISBH: Sembilan kanak-kanak masih dijaga JKM, 60 ditentukan minggu depan

Kanak-kanak GISBH
ANFAAL Saari ditemui pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Pembukaan Cawangan BS Freshmart dekat Bandar Tasik Puteri, di Rawang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Perintah lanjutan hak jagaan sementara (IPO) terhadap kira-kira 60 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global terhadap Global Ikhwan Services and Business Sdn. Bhd. (GISBH) akan dimohon pada sebutan semula prosiding di mahkamah, minggu depan.

Prosiding tersebut akan berlangsung dekat Mahkamah Kanak-Kanak di Ampang, Petaling Jaya dan Shah Alam sama ada diberikan lanjutan IPO kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau diperintah dikembalikan kepada keluarga mereka.

Sehingga kini, seramai 300 kanak-kanak di Selangor sudah dikembalikan ke pangkuan ibu bapa masing-masing sejak 20 November tahun lepas. Kemudian seramai 51 melalui prosiding mahkamah pada 15 Januari lalu (Rabu) dan sembilan diteruskan hak penjagaannya oleh JKM.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, bagi kanak-kanak yang sudah dikembalikan, ibu bapa tertakluk kepada penilaian dan pemantauan yang dilakukan oleh JKM dengan mengambil kira penilaian tahap pendidikan serta kesihatan mental mereka.

“Mereka ada yang menghadapi trauma dan untuk memastikan JKM memulangkan secara bersyarat, mereka ada bon atau beberapa perkara akan dinilai dan dipantau secara berkala yang mana itu akan memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.

“Dari segi indoktrinasi, itu di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan memastikannya, tetapi kami dimaklumkan MKN membuka peluang untuk program seperti taubat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan BS Freshmart, hari ini.

Terdahulu, dalam Op Global yang dijalankan pada September lalu, polis menyelamatkan seramai 424 kanak-kanak yang terlibat dengan GISBH dan diberikan hak penjagaan sementara oleh mahkamah kepada JKM bagi tujuan pemulihan dan mengenal pasti ibu bapa mereka.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, ibu-bapa kepada 107 anak-anak pengikut GISBH yang masih berada di lapan institusi di bawah JKM diminta menuntut anak masing-masing.

Jelas Anfaal, kanak-kanak yang sudah kembali ke pangkuan ibu bapa mereka dinasihatkan untuk mengikuti aliran pendidikan perdana di bawah Kementerian Pendidikan.

“Kita galakkan mereka untuk masuk ke aliran perdana atau mana-mana pendidikan formal sebab sebelum ini antara kes kebanyakan anak-anak itu tidak mengikuti sebarang pendidikan formal dan mereka mengatakan melalui program tahfiz dan sebagainya, tetapi tiada rekod.

“Jadi, kita perlu pastikan kanak-kanak meskipun di luar sana selain GISBH ada ramai lagi kanak-kanak yang tidak mengikut pendidikan formal, tetapi sekurang-kurangnya mereka mempunyai rekod tahap pendidikan sama ada pendidikan agama negeri dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya