TUMPAT: Ibu-bapa kepada 107 anak-anak pengikut Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holdings (GISBH) yang masih berada di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diminta menuntut anak masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sudah ada ibu bapa yang datang ke institusi terbabit untuk menuntut anak-anak mereka tetapi berubah fikiran pada saat akhir, mungkin kerana menerima nasihat daripada pihak tertentu.
Katanya, antara alasan yang dikenal pasti adalah ia sebagai langkah untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan berhubung kelewatan menyerahkan anak-anak pengikut GISBH kepada ibu bapa masing-masing.
“Itu adalah satu tindakan tidak adil. Kita tidak menyerahkan anak-anak mereka sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan mengikut proses perundangan yang sepatutnya.
“Jadi saya minta ibu-bapa yang berubah fikiran, tolonglah datang jumpa JKM dan tuntut anak masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Integrasi Kasih Kampung Angkat Madani sempena Majlis Penyerahan Projek Fizikal Kampung Angkat Madani di Pasir Pekan Tengah, di sini semalam.
Beliau berkata, semua ibu-bapa yang dipanggil JKM layak menjaga anak masing-masing dan tiada guna menyalahkan kerajaan kerana semua agensi berkaitan melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang.
“JKM tiada agenda tersembunyi dalam perkara ini dan kita bukan mahu menahan anak-anak ini sebaliknya melindungi mereka.
“Ubahlah pemikiran kerana anak-anak ini memerlukan anda semua. Tolonglah fikirkan yang terbaik untuk anak-anak dan anda sendiri. Jangan abaikan mereka,” katanya.
Nancy berkata, daripada keseluruhan anak-anak pengikut GISBH yang masih berada di bawah perlindungan JKM. seramai lima orang menerima perintah tetap di institusi manakala 102 kanak-kanak menerima perintah interim.
“Seramai 448 daripada keseluruhan 506 kanak-kanak diselamatkan telah diserahkan kepada keluarga masing-masing mengikut Seksyen 30(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan lima diserahkan kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 30(1)(b) akta sama.
“Kanak-kanak yang diserahkan kepada OLYS adalah kerana ibu-bapa mereka mungkin mempunyai kes dan tidak dapat menjaga sendiri anak-anak mereka.
“Jadi kita mohon kepada mahkamah untuk anak-anak ini dijaga oleh OYLS,” ujarnya.