SHAH ALAM: Mahkamah Kanak-Kanak mengenakan sembilan syarat yang diletakkan di bawah bon tanpa cagaran sebanyak RM500 sebagai jaminan untuk membebaskan kanak-kanak Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Seramai 41 kanak-kanak dibawa bagi menghadiri prosiding sebutan semula berhubung perintah hak jagaan sementara (IPO) terhadap 41 kanak-kanak berusia lima hingga 16 tahun yang dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak September tahun lalu.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, mahkamah mengenakan syarat tersebut antaranya menghantar anak mereka ke sistem pendidikan formal sama ada aliran perdana ataupun sekolah swasta.
“Itu adalah syarat yang mematuhi Perlembagaan Persekutuan bahawa kanak-kanak yang lahir di negara ini wajib melalui persekolahan. Sekiranya dilanggar, mereka perlu membayar RM500 dan tindakan selanjutnya oleh mahkamah.
“Bon tersebut (diberikan) berdasarkan pemantauan terhadap kanak-kanak, laporan daripada pelindung, penasihat dan juga majistret,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan prosiding tersebut di Mahkamah Kanak-Kanak, hari ini.
Seramai 26 keluarga hadir di Mahkamah Kanak-Kanak bagi prosiding sebutan semula berhubung perintah IPO terhadap 41 kanak-kanak berusia lima hingga 16 tahun yang dijaga oleh JKM dan akan bersambung pada esok melibatkan lebih 40 lagi kanak-kanak.
Sehingga pukul 11.50 pagi tadi, sembilan kanak-kanak dari tujuh keluarga dibenarkan pulang selepas menghadiri prosiding di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rendah, Wong Chai Sia.
Jelas Anfaal, jumlah keseluruhan kanak-kanak yang dibenarkan pulang atau sebaliknya hanya akan diketahui selepas prosiding tersebut selesai esok.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 300 kanak-kanak di Selangor sudah dikembalikan ke pangkuan ibu bapa masing-masing sejak 20 November tahun lepas. Kemudian seramai 51 melalui prosiding mahkamah pada 15 Januari lalu (Rabu) dan sembilan diteruskan hak penjagaannya oleh JKM.
Dalam Operasi (Op) Global yang dijalankan pada September lalu, polis menyelamatkan seramai 424 kanak-kanak yang terlibat dengan GISBH dan diberikan hak penjagaan sementara oleh mahkamah kepada JKM bagi tujuan pemulihan dan mengenal pasti ibu bapa mereka. – UTUSAN