PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyifatkan pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza yang bakal berkuatkuasa pada hari Ahad ini sebagai satu perkembangan positif serta amat dialu-alukan.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, seluruh umat Islam perlu terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin sebagai tanda kesatuan hati dan jiwa.
“Sesungguhnya mangsa-mangsa di Palestin telah melalui konflik ini dengan penuh kesengsaraan dan penderitaan. Mereka memerlukan sokongan daripada masyarakat dunia untuk membina semula kehidupan mereka.
“Marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar masyarakat di Palestin terus diberikan keafiatan dan kesejahteraan.
“Kami menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan gencatan senjata tersebut mesti menjadi batu loncatan ke arah matlamat menubuhkan negara Palestin yang berdaya maju, berdaulat dan merdeka yang telah lama tertangguh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Perdana Menteri Qatar Mohammed Abdulrahman mengumumkan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui Hamas dan Israel membabitkan tiga fasa mulai Ahad ini.
Fasa pertama yang berlangsung 42 hari bakal menyaksikan Hamas membebaskan 33 tahanan Israel dan sebagai pertukaran, Israel pula membebaskan kira-kira 2,000 tahanan Palestin termasuk 250 orang yang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Qatar, Mesir dan AS yang sebelum ini menjadi perantara usaha damai antara kedua-dua pihak itu akan terus memantau pelaksanaan perjanjian gencatan senjata termasuk kemungkinan sebarang pelanggaran.