TAPAH: Seorang ibu tunggal, Zabidah Raja Mohd. Arif, 58, gembira apabila impian memiliki rumah selesa tercapai menerusi bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Kampung Baru Batu 4, Tapah Road di sini.
Menurutnya, memang menjadi impiannya untuk memiliki rumah baharu kerana rumah lamanya sebelum ini sudah uzur yang memerlukan banyak kos pembaikan.
Katanya, dia hilang tempat bergantung apabila suaminya meninggal dunia setahun lalu kerana serangan jantung.
“Saya bersyukur kerana mendapat kediaman baru yang selesa yang moden lengkap dengan tiga bilik, satu tandas dan satu bilik air,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia dikunjungi oleh Ketua Kampung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baru Batu 4, Tapah Road, Md. Ali Bahaudin, 62, yang menyampaikan sumbangan beras.
Zabidah yang tidak bekerja berkata, dia masih memerlukan bantuan untuk rumah baharunya terutama untuk memasang bekalan air paip.
Menurutnya, dia tidak mampu menyediakan kos untuk pemasangan paip air malahan peralatan rumahnya pun sekadar ada untuk berlindung dari hujan dan panas.
Katanya, dia hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain pemberian anak-anak yang telah berkahwin dan yang sudah bekerja.
“Anak-anak ada bagi duit tetapi tidaklah setiap bulan kerana mereka pun ada komitmen sendiri selain perlu menyimpan untuk masa depan.
“Malah, saya juga perlu menjaga anak sulung yang menghadapi masalah penyakit mental selain anak bongsu yang sedang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya di akaun Bank Simpanan Nasional 08700-41-10005470-4 atas nama Zabidah Raja Mohd Arif atau hubungi Zabidah di talian 013-944 9584.