TEMERLOH: Sungai Pahang yang diiktiraf terpanjang di Semenanjung Malaysia wajar digazetkan sebagai zon industri akuakultur atau ternak air ikan eksotik dan hab pengeluaran makanan untuk keperluan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Mohd. Fadzli Mohd. Ramli berkata, ia selaras dengan matlamat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membangunkan sektor agromakanan yang mengutamakan sekuriti makanan dan nutrisi.
“Sungai Pahang wajar diangkat nilai tambah sebagai zon ternak air terbesar bukan sahaja tertumpu kepada ikan patin, kelah dan tilapia semata-mata tetapi banyak lagi spesies eksotik seperti baung serta kerai yang perlu turut dikomersialkan oleh kerajaan.
“Spesies kerai yang menjadi hidangan golongan kenamaan perlu dijadikan produk lauk hidangan pelbagai menu yang kedua selepas patin kerana rasanya enak dan menyelerakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mohd. Fadzli berkata, dengan menggazetkan Sungai Pahang sebagai zon ternak air bakal merancakkan lagi industri ini untuk keperluan tempatan dan pasaran antarabangsa.
Menurutnya, produk ternakan ikan sangkar Sungai Pahang mendapat permintaan tinggi penggemar ikan air tawar termasuk dari Lembah Klang.-UTUSAN.