Ganjaran berdasarkan prestasi, bukan jantina - MEF - Utusan Malaysia

Ganjaran berdasarkan prestasi, bukan jantina – MEF

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan perlu memberikan ganjaran kepada pekerja mengikut kepada nilai prestasi di tempat kerja berbanding jantina.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, majikan tidak sepatutnya menindas kerana kelayakan, kemahiran dan pengalaman kerja perlu dilihat secara adil dan menyeluruh.

Katanya, pembetulan segera perlu diambil secepat mungkin sekiranya wujud majikan yang berlaku tidak adil kepada pekerja mengikut jantina.

“MEF tidak menyokong sebarang dasar dan amalan yang membayar gaji berdasarkan jantina. Jika terdapat sebarang perbezaan gaji berdasarkan jantina, majikan yang terbabit mesti memperbetulkan perkara itu dengan segera.

“Kita mesti mengiktiraf bahawa wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia dan sumbangan mereka menjadi kunci kepada kemajuan budaya, ekonomi dan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan isu jurang gaji antara lelaki dan wanita akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini kerana ia membabitkan hak dan kebajikan
setiap pekerja.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya mahu perkara itu dibincangkan dengan lebih lanjut untuk mendapatkan sokongan dan pandangan anggota Kabinet lain.

Tambah Syed Hussain, kerajaan perlu segera melaksanakan dasar yang sesuai bagi membolehkan amalan keseimbangan kerja dan kehidupan untuk pekerja wanita.

“Wanita Malaysia memegang jawatan berpengaruh dan ini memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengatasi cabaran berdasarkan jantina, selain sumbangan mereka dalam pembangunan keluarga secara langsung menyumbang kepada kekuatan sosial.

“MEF menggesa dasar yang sesuai dan sistem sokongan segera dilaksanakan bagi membolehkan pelaksanaan amalan keseimbangan kerja dan kehidupan untuk pekerja wanita, yang dalam jangka panjang akan memperkuat keupayaan mereka untuk menyumbang secara berkesan di rumah dan di tempat kerja,” katanya.

Dalam pada itu, pindaan terhadap Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan jelas melarang diskriminasi dan menunjukkan langkah yang penting bagi melindungi hak wanita di Malaysia.

Katanya, Akta Pekerjaan 1955 berkuat kuasa 1 Januari 2023 juga membolehkan pekerja mengemukakan aduan kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika dipercayai sedang didiskriminasi.

“Malaysia mesti mempromosi dan memastikan penerapan prinsip pembayaran setara tanpa mengira jantina. MEF komited untuk memastikan majikan sektor swasta melaksanakan kesaksamaan jantina dan pampasan yang adil di tempat kerja.

“MEF sangat percaya mempromosi kesaksamaan jantina dan memastikan penyertaan aktif wanita dalam semua bidang bukan hanya satu kewajiban moral tetapi juga kelebihan strategik bagi Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya