KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 89 ketulan mampat ganja seberat 89.481 kilogram dianggarkan bernilai RM275,900 yang ditinggalkan di perdu hutan paya bakau di perairan Bukit Putih, Kuala Perlis, di sini, pada Isnin minggu lalu.
Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, menerusi maklumat risikan, sepasukan anggota kastam cawangan penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis telah melakukan pemeriksaan di hutan paya bakau itu sekitar pukul 3.30 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan, telah membawa kepada penemuan empat guni berwarna putih yang ditinggalkan dan mengandungi ketulan mampat ganja berkenaan.
“Kastam merampas semua ketulan mampat ganja yang ditinggalkan di perdu hutan paya bakau tersebut yang dianggarkan bernilai kira-kira RM275,900,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail berkata, sewaktu pemeriksaan,anggota penguatkuasa juga telah menunggu dan melakukan pemantauan sekitar setengah jam di lokasi itu.
Katanya, jumlah rampasan ganja itu juga dipercayai boleh digunakan oleh kira-kira 447,560 penagih.
“Daripada jumlah rampasan ini, kita percaya pasarannya juga adalah luas dan bukan tertumpu di utara sahaja namun juga untuk bekalan sekitar Lembah Klang,” katanya.
Ismail berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati ketulan mampat ganja yang ditinggalkan itu juga sedikit kembang dipercayai disebabkan air paya bakau tersebut.