LIPIS: Lebih 10 petani Orang Asli etnik Semai yang mengusahakan tanaman padi huma seluas empat hektar di Simpang Gening dan Kampung Nangka Belantara, Pos Lenjang, dekat sini berdepan ancaman gajah yang merosakkan tanaman mereka.
Seorang petani Simpang Gening, Daruddin Rahim berkata, tiga malam berturut-turut dua ekor gajah menceroboh ke kawasan tanaman padi huma yang diusahakannya seluas kira-kira 0.8 hektar.
“Gajah menceroboh masuk ke kawasan tanaman ini dan memijak pokok padi huma yang berusia dua bulan.
“Haiwan ini makan pokok padi muda dan selebihnya dipijak sebelum beredar ke kawasan kebun pisang dan ubi kayu berdekatan,” katanya di Simpang Gening semalam.
Menurut Daruddin, sebelum ini gajah liar berkenaan kerap masuk ke kawasan padi huma, kebun pisang, ubi kayu dan tanaman lain yang mana petani di situ terpaksa berjaga malam untuk menghalaunya.
“Sekiranya kawanan gajah ini terus menceroboh, bermakna petani mengalami kerugian dan jangkaan kami untuk memperoleh hasil sebanyak 200 guni padi huma bagi keperluan makanan keluarga tidak kesampaian.
“Petani di sini tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya kawasan padi huma dan tanaman lain diceroboh gajah. Hanya mampu menghalau dari jauh dan membakar rimbunan kayu, tetapi haiwan ini tetap datang semula mencari makanan,” katanya.
Sementara itu, seorang petani, Jamil Bongsu berkata, ancaman gajah menyebabkan penduduk kehilangan pendapatan kerana ada hasil tanaman mereka seperti pisang, ubi kayu dan sawit dijual untuk keperluan sara hidup.
“Padi huma yang kami tanam tidak dijual hanya untuk makanan keluarga dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan sebelum padi baharu yang ditanam boleh dituai,” ujarnya.