TEMERLOH: “Saya reda dengan ketentuan Ilahi. Kini, saya mahu berdamai dengan takdir.” Demikian luah seorang gadis, Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, yang hilang kaki kanan selepas terbabit kemalangan, Februari tahun lalu.
Mengimbau kejadian pada 7 Februari itu, dia bersama adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, berdepan detik hitam pada usia muda apabila motosikal ditunggang mereka dilanggar sebuah lori selepas membeli kek di Bera.
“Saya tak sedar apa yang berlaku selepas kemalangan itu dan koma tiga hari. Bila sedar, saya diberitahu, kaki kanan sudah tiada.
“Pada mulanya, saya tergamam tetapi kini yakin ini ketentuan Ilahi. Saya reda dan mahu berdamai dengan takdir. Malah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih bernyawa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kemalangan itu mengakibatkan Nik Haznita Safiyya parah kaki kanan dan terpaksa dipotong, sementara adiknya mengalami 11 kecederaan parah bermula daripada bahu hingga ke kaki kanan.
Nik Haznita Saffiya berkata, kini dia sudah boleh menggunakan tongkat untuk bergerak dan mahu mendapatkan kaki palsu agar dapat membantu perniagaan cendol diusahakan abangnya bagi menambah pendapatan keluarga.
Sementara itu, ibunya, Noriah Adjun, 43, berkata, dia menerima ujian tuhan dengan berlapang dada apabila dua anaknya kehilangan sebelah kaki masing-masing akibat kemalangan dan kegagalan saraf.
Katanya, Nik Haznita Saffiya atau lebih mesra disapa panggilan Angah mahu menunggu adiknya kembali sihat terlebih dahulu untuk sama-sama menjalani fisiologi dan rehabilitasi di hospital.
“Alhamdulillah, anak-anak saya semakin sihat bukan sahaja fizikalnya malah mental dan emosi bertambah baik. Saya bersyukur kerana kedua-duanya sentiasa berfikiran positif dan kuat semangat untuk meneruskan kehidupan walaupun mereka kehilangan sebelah kaki.
“Sebelum ni, hanya Angah sahaja yang kehilangan kaki. Tapi, pada 13 Januari lalu, kaki kanan adiknya pula terpaksa dipotong kerana kegagalan saraf dan sekarang masih di wad untuk rawatan susulan,” ujarnya.
Difahamkan, keluarga ini bergantung sepenuhnya pada pendapatan Nik Husmadi sebagai pesara tentera dan anak sulung, Nik Hazriezal Edri, 22, dengan kira-kira RM3,000 sebulan, serta bantuan Jabatan Kejadian Masyarakat (JKM) RM500 setiap seorang untuk kedua-dua anak perempuannya itu.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 164847091148 atas nama Noriah Adjun.-UTUSAN.