ALOR SETAR: Kanak-kanak autisme yang ditemukan di tebing Sungai Kedah dipercayai lemas tidak pernah keluar bermain sendirian di luar rumah kecuali ditemani keluarganya.
Menurut nenek saudara kepasa Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle, Fatimah Abdullah, 76, mangsa bagaimanapun dipercayai membuka pintu pagar yang tidak dikunci secara senyap pada hari kejadian tanpa disedari ahli keluarga termasuk ibunya yang berada dalam rumah.
“Firash tidak pernah keluar bermain sendirian selalunya ditemani oleh ibu atau neneknya. Dia juga tidak pernah sekalipun mendekati sungai itu. Keluarganya menjaga dia dengan rapi dan tidak pernah biarkan dia main seorang diri.
“Semalam, sebelum kejadian Firash bermain-main di laman depan rumah, entah macam mana dia keluar tanpa disedari oleh keluarga. Apabila sedar dia hilang kami mencari di luar rumah dan terjumpa baju serta lampin pakai buang di tepi longkang depan rumah keluarganya,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Tunku Tabor di sini hari ini.
Mayat kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang semalam itu ditemukan di tebing Sungai Kedah kira-kira 100 meter dari rumahnya dipercayai lemas.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mayat mangsa berusia tujuh tahun itu ditemukan anggota polis yang melakukan operasi mencari di sungai itu pada 8.12 pagi ini.
Kata Fatimah, keluarga tersebut reda dengan kehilangan anak bongsu daripada empat beradik dalam kejadian itu.
“Firash memang hiperaktif kerana autisme itu tetapi dia tidak kacau orang selalu main sendiri. Keluarga masih bersedih namun kami semua reda dengan kejadian ini. Jenazah Firash akan dikebumikan di Masjid Pumpong di sini selepas urusan bedah siasat selesai nanti,” katanya.