JERANTUT: Enam kampung Melayu di pesisir Sungai Tembeling di Ulu Tembeling di sini, bakal lenyap dalam tempoh dua dekad lagi berikutan ancaman banjir yang menenggelamkan daratan di sepanjang 110 kilometer jajaran sungai berkenaan.
Kira-kira 4,000 penduduk di Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Seberang Bantal, Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi dan Kampung Kuala Tahan pula bimbang kampung mereka tenggelam setiap kali hujan lebat terutama ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).
Dalam kejadian bah merah 2014, keseluruhan penempatan penduduk di pesisir Sungai Tembeling tenggelam dan sehingga sekarang, apabila banjir, kawasan pesisir sungai antara terancam dengan limpahan air ke daratan ditambah arus deras Sungai Tembeling menghanyutkan kayu balak reput dan reba pokok tumbang sehingga merosakkan kemudahan awam di situ.
Situasi itu sekali gus menjejaskan kelangsungan penempatan berkenaan dari segi daya huninya terutama keselamatan penduduk.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Mustapha Abdullah berkata, jika banjir berterusan dan berlaku lebih kerap, penduduk pesisir Sungai Tembeling perlu beransur berpindah sama ada membuat penempatan baharu jauh daripada sungai atau menetap di tempat lain.
Namun katanya, penempatan sekarang di pesisir Sungai Tembeling dan anak sungai berdekatan menjadi sumber mata pencarian hasil tangkapan ikan dan ternakan sangkar selain aktiviti pelancongan yang semakin dikenali dalam kalangan pelawat domestik serta pelancong dari seluruh dunia.
“Lenyapnya kawasan penempatan bermakna lenyap juga nilai peradaban masyarakat Melayu Ulu tembeling yang dipercayai berusia 600 tahun lalu apabila penempatan di situ dibuka oleh orang Melayu setempat. Malah terhakis juga nilai sejarah berasaskan warisan pedagang Sumatera (Acheh), Jawa, Cina dan Siam yang pernah mudik menyusuri Sungai Pahang serta Sungai Tembeling ke kawasan ulu sungai.
“Selain itu artifak dan kesan penjajah British yang membuka Taman Negara pada abad ke-19 pada 1938/1939 yang dikenali pada awalnya sebagai Taman Negara King George sehingga kawasan itu menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mustapha berkata, penebangan hutan atas nama pembangunan dan pengeluaran balak khususnya sejak 20 tahun lalu dipercayai menjadi antara faktor banjir kerap berlaku di pesisir Sungai Tembeling ekoran kerosakan ekosistem, dan hakisan tanah sekali gus menggugat alam sekitar mampan.
“Projek menukar landskap Ulu Tembeling sebagai pembangunan baharu lengkap dengan kemudahan asas menjadi alasan penerokaan hutan. Namun kesannya kini ditanggung penduduk khususnya di enam kampung di pesisir Sungai Tembeling,” katanya.
Sementara itu, penduduk Ulu Tembeling, Jamizan Rashid, 46, berkata, walaupun hujan lebat hanya sekejap di hulu, air Sungai Tembeling naik mendadak dan berlaku banjir kilat.
“Air sungai kelihatan berkeladak dan berlaku timbunan pasir selepas banjir yang lama-kelamaan menyebabkan sungai menjadi cetek,” katanya.
Rakannya, Zulkefli Ahmad, 61, pula mengalu-alukan pembangunan bagi membawa perubahan sosial penduduk di Ulu Tembeling khususnya dalam bidang ekonomi berasaskan pertanian dan pelancongan, tetapi memerlukan skop perancangan lebih teliti tanpa memusnahkan alam sekitar yang menjadi habitat flora dan fauna.
“Kesan yang paling nyata sehingga kini apabila habitat hidupan liar musnah menyebabkan spesies seperti gajah, harimau, tapir dan lain-lain keluar mencari makanan di kawasan kampung termasuk ikan sungai semakin berkurangan.
“Tidak mustahil dalam tempoh dua dekad akan datang, Lembangan Tembeling khususnya penempatan di pesisir sungai lenyap apabila penduduk terpaksa berpindah kerana tidak tahan lagi dengan ancaman banjir yang kerap berlaku setiap tahun,” katanya.
Seorang penduduk Tembeling Tengah, Zamri Mat Ami, 57, turut menjangkakan kawasan penempatan pesisir sungai di Ulu tembeling beriko lenyap memandangkan banjir kerap berlaku akibat penerokaan hutan berasaskan tuntutan komersial sejak lebih 20 tahun lalu.
Katanya, kesan aktiviti penebangan hutan sejak lebih dua dekad lalu ibarat ‘nasi sudah menjadi bubur’ menyebabkan penduduk pesisir Sungai Tembeling berdepan fenomena banjir setiap tahun.
“Nilai peradaban masyarakat Melayu di sini yang kaya dengan makanan tempatan berasaskan tumbuhan dan ikan akan lenyap apabila sumber tanaman dan ikan musnah ketika berlaku banjir, pencemaran dan lain-lain.
“Mungkin 20 tahun akan datang, kita sukar mencari pucuk paku dan ulaman-ulaman di tebing Sungai Tembeling akibat hakisan selain kepupusan spesies ikan kelah, patin, lawang, dan ikan kenerak akibat sungai berkeladak serta cetek,” katanya.
Menurutnya, usaha dilakukan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berkenan menjadikan kawasan Hutan Simpan Gunung Aais di Ulu Tembeling, dekat sini sebagai rizab hutan bagi habitat Harimau Malaya dapat mengekalkan hutan di daerah ini. – UTUSAN