Enam beradik yatim piatu bakal miliki MyKad

Enam beradik yatim piatu bakal miliki MyKad

KALSOM Noordin berbual dengan enam beradik yatim piatu ketika menziarahi mereka di Tangga Batu, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Impian enam beradik yatim piatu di Tangga Batu di sini untuk memiliki kad pengenalan selepas menanti hampir tiga tahun bakal menjadi kenyataan selepas permohonan kewarganegaraan kini dalam proses kelulusan Kementerian Dalam Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, kisah mereka yang kematian ibu bapa mendapat perhatian pada 2021 apabila Utusan Malaysia pernah melaporkan adik-beradik itu bukan sahaja tidak memiliki sijil lahir, malah tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah.

Menurutnya, hasil usaha pelbagai pihak maka Nul Aziza Rosani, 17; Ahmad Baharom, 16; Azrul, 15; Khalid, 14; Mohd. Said, 11, dan Siti Khadijah, 9, hanya memiliki sijil kelahiran bukan warganegara bagi membolehkan mereka bersekolah seperti kanak-kanak lain.

“Apabila mereka sudah membesar terutama kakak sulung menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), timbul pula isu mereka tidak memiliki MyKad. Ini penting sebagai identiti kita.

“Sejak tahun 2022 permohonan telah dibuat melalui Jabatan Pendaftaran Negara Melaka dan saya dimaklumkan kesemua beradik itu perlu mendapat taraf warganegara terlebih dahulu.

“JPN memberitahu kelewatan berpunca daripada beberapa dokumen yang tidak lengkap. Alhamdulillah semua sudah selesai dan permohonan telah dibuat kepada KDN, kini menunggu kelulusan,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi enam beradik itu, semalam.

Tambah Kalsom, beliau akan bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh untuk memohon bantuan agar permohonan dapat dipercepatkan.

Katanya, ekoran ketiadaan MyKad, adik-beradik itu juga sukar mendapatkan bantuan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejak 2021.

“Enam beradik itu kini hilang tempat bergantung apabila ibu saudara mereka, Hajiah Hairun, 51, yang menjaga mereka sejak kedua-dua ibu bapa meninggal dunia, menghembuskan nafas terakhir malam Rabu lalu akibat serangan jantung.

“Ekoran tidak mempunyai penjaga dan hasil rundingan, hak penjagaan diserahkan kepada keluarga angkat mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya