Empat kakitangan Puspakom dipanggil beri keterangan kepada JPJ

Empat kakitangan Puspakom dipanggil beri keterangan kepada JPJ

Puspakom
MAHMOOD Razak Bahman ditemui pemberita pada sidang akhbar berkaitan pemeriksaan mengejut JPJ cawangan Puspakom baru-baru, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengesahkan empat kakitangannya tampil memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi siasatan penemuan sebuah kenderaan dalam keadaan tidak selamat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, kesemua individu dari cawangan Wangsa Maju itu telah dipanggil memberi keterangan di JPJ Putrajaya apabila dikenal pasti dua daripada mereka bertindak meluluskan pemeriksaan kenderaan itu manakala dua lagi menggagalkannya.

“Setakat ini, dua individu memberi keterangan kepada JPJ pada 30 Disember lalu manakala dua lagi dipanggil pada hari ini.

“Sehingga kini, Puspakom juga belum menerima sebarang tindakan saman daripada JPJ sepanjang operasi mengejut yang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan pemeriksaan secara mengejut dilaksanakan di seluruh Puspakom bagi memastikan kenderaan menepati piawaian ditetapkan.

Operasi JPJ itu akan diteruskan tanpa pengetahuan Puspakom seperti diarahkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mahu pelaksanaan penguatkuasaan secara berfasa.

Kesalahan yang dikesan antaranya pemandu lori menggunakan tayar celup tidak selamat dan uzur yang berpotensi meletup pada bila-bila masa.

Selain itu, JPJ mendedahkan penyelia dan kakitangan Puspakom Wangsa Maju dipanggil ke Ibu Pejabat jabatan berkenaan bagi soal siasat mengenai penemuan sebuah kenderaan dalam keadaan tidak selamat.

Tambah Mahmood, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan keterangan dua kakitangan yang terlibat dalam dakwaan itu dan tiada sebarang rekod buruk integriti sebelum ini.

“Namun, kita tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas kakitangan yang didapati terlibat dalam apa jua kesalahan termasuk unsur rasuah. Jika tiada kesalahan sebelum ini, kita akan memberi amaran lisan dan bertulis. Namun, kalau ia keterlaluan, kita akan memecat pihak terlibat,” tegasnya.

Jelasnya, Puspakom sedia bekerjasama sepenuhnya dengan JPJ bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.

“Puspakom menyambut baik kerjasama JPJ dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memeriksa dan memantau bengkel berdaftar atau bengkel tidak berlesen yang disyaki terlibat dalam isu sewa komponen kenderaan perdagangan.

“Kita akan akur kepada semua arahan baharu selaras usaha membanteras pemilik kenderaan perdagangan yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Katanya lagi, Mahmood menafikan dakwaan tujuh kenderaan disita JPJ dalam kawasan Puspakom namun ia hanya melibatkan sebuah kenderaan disita di Puspakom Wangsa Maju.

“Sebanyak 104 kenderaan yang disita di Perak sebenarnya berada di luar kawasan Puspakom dan ia masih belum lagi diperiksa. Setakat ini, lebih 40 cawangan diserbu termasuk yang diperiksa di Glenmarie, Shah Alam dan Seremban,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya