PETALING JAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menekankan empat fokus utama melibatkan pembangunan modal insan, keusahawanan, ekonomi dan reformasi birokrasi sebagai hala tujunya tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan diperhalusi pada sesi pemukiman beliau bersama 140 warga kementerian, terdiri daripada pengurusan tertinggi, pegawai kanan serta jabatan dan agensi di bawah KKDW bermula petang ini hingga Ahad di Bahang Bay, Pulau Pinang.
“Insya-Allah, lebih banyak idea dan pencetus perubahan baharu akan lahir daripada sesi pemukiman kali ini, sekali gus memacu potensi pedesaan dengan lebih berkesan,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, hasil sesi pemukiman tahun lalu, KKDW melaksanakan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang memberikan nafas baharu dan imej lebih positif dan mesra.
Beliau turut memaklum kadar bantuan bagi projek bina baharu rumah di Semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM66,000 kepada RM79,000, iaitu peningkatan sekitar 20 peratus, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan naik kira-kira lapan peratus daripada RM79,000 kepada RM85,000.
Pada masa sama, jelasnya, kos baik pulih rumah turut diselaraskan daripada RM15,000 di Semenanjung dan RM17,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan, kepada RM20,000.
“Menariknya lagi, keluasan binaan rumah ditambah daripada 660 kaki persegi kepada 680 kaki persegi supaya dapat memberikan sedikit keselesaan kepada penerima berdasarkan kesesuaian tapak dan lokasi yang diterima,” katanya.