PADANG BESAR: Cubaan sindiket penyeludupan migran bagi menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal gagal apabila kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa menerusi penahanan sebuah kenderaan, pada Isnin lalu.
Hasil maklumat risikan, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dibantu JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Unser di kawasan Gapura Square, di sini, sekitar pukul 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, menerusi pemeriksaan, pihaknya menahan seorang wanita warga asing berusia 43 tahun dipercayai berperanan sebagai tekong atau pemandu kereta bagi menghantar Pati tersebut pulang ke negara asalnya.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan membawa kepada penemuan lima lelaki Pati dari negara jiran dalam kenderaan itu di mana empat daripadanya mempunyai passport tamat tempoh manakala seorang lagi tiada sebarang dokumen sah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, berikutan itu, pihaknya juga telah menjalankan siasatan susulan dan membawa kepada penahanan seorang lagi wanita warga asing berusia 34 tahun dipercayai merupakan suspek utama.
Katanya, lima PATI yang ditahan itu adalah berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun dan semua mereka dibawa ke IPD Padang Besar bagi siasatan lanjut.
“Tangkapan suspek utama melibatkan seorang wanita yang bekerja sebagai penjual sayur yang menetap di negeri jiran dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. Manakala, suspek utama yang ditahan pula merupakan wanita asing dan turut menetap di negeri jiran serta bekerja sebagai penjual baju dengan tiada sebarang rekod lampau,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shokri berkata, sindiket menggunakan modus operandi di mana suspek utama berperanan bagi memberi arahan kepada seorang lagi suspek wanita untuk menghantar balik lima PATI berkenaan ke negara asal.
Katanya, suspek utama juga memberi upah RM400 bagi satu trip perjalanan manakala setiap PATI perlu membayar sebanyak RM900 seorang untuk di bawa pulang ke negara asal.
“Dua suspek ditahan reman selama 28 hari sehingga 3 Februari depan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma). Manakala lima Pati terlibat pula ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen bermula pada 7 Januari lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini,” katanya.-UTUSAN