Dua remaja berjaya selamatkan bekas guru KAFA dari jatuh jambatan

Dua remaja berjaya selamatkan bekas guru KAFA dari jatuh jambatan

ORANG ramai memenuhi kawasan kejadian di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Tindakan pantas dua remaja berjaya menyelamatkan seorang bekas guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dipercayai mengalami tekanan hidup daripada terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.

Wanita berusia 43 tahun yang merupakan ibu tunggal itu dilihat cuba memanjat penghadang jalan di jambatan tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Saksi yang menyelamatkan wanita itu yang dikenali sebagai Hafiz berkata, dia bersama rakannya terpaksa bergelut dengan wanita itu dan meminta pertolongan orang ramai.

Menurutnya, semasa sedang dalam keadaan cemas, seorang anggota polis yang melalui kawasan berkenaan berhenti dan membantunya.

“Anggota polis itu turut memujuk wanita dan memaklumkan kesan yang bakal dihadapi keluarga sekiranya dia nekad untuk terjun ke dalam Sungai Kelantan.

“Wanita itu kemudian meronta-ronta untuk dilepaskan. Tidak lama kemudian, dia melupakan hasratnya untuk terjun dari jambatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Hafiz memberitahu, difahamkan, wanita itu berasal dari Kampung Kok Pasir, Kota Bharu dan menetap di Kampung Padang Tembesu di sini selepas bercerai dengan suaminya kira-kira setahun lalu.

Katanya, ibu tunggal itu turut memaklumkan bahawa dia mengalami masalah tekanan perasaan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara anaknya.

“Wanita itu turut berpesan kepada anaknya mengenai wang simpanan yang ada di rumah dan kelengkapan penting menerusi pesanan WhatsApp,” ujarnya.

Hafiz berkata, mangsa telah dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu di sini oleh anggota polis terbabit untuk tindakan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya