Dua nelayan hilang ditemukan selamat di Pulau Rupat

Dua nelayan hilang ditemukan selamat di Pulau Rupat

ABDUL Razak (kanan) ketika membuat panggilan video dengan Rosenizam ketika berkunjung ke rumah mangsa pada malam Selasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan ketika keluar memukat sejak Rabu lalu ditemukan selamat di Dumai, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd. Khairi Abd Aziz berkata, tekong Muarep Sakem, 63, dan awak-awak Rosenizam Maharam, 55,  berjaya diselamatkan oleh nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk ekoran kerosakan enjin yang dialami mereka.

“Kami bersyukur kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan serius. Mereka kini berada di Dumai dan pihak kami sedang bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di sana bagi menguruskan proses penghantaran mereka pulang ke Melaka,” katanya di sini hari ini. 

Sehubungan itu beliau turut mengingatkan kepada nelayan dan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan perubahan cuaca yang tidak menentu serta memastikan bot berada dalam keadaan baik dan dilengkapi peralatan keselamatan sebelum keluar ke laut.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, beliau melahirkan rasa syukur apabila kedua-dua nelayan dari Jeti Muara Sungai Duyong, Padang Temu dekat sini ditemukan selamat.

Menurutnya, kedua-dua nelayan terbabit diselamatkan oleh nelayan Indonesia di Pulau Rupat selepas enam hari usaha mencari mereka dilakukan.

Katanya, beliau sempat berbual dengan mereka bertanyakan keadaan mereka menerusi panggilan video kira-kira pukul 10.30 malam tadi di rumah ahli keluarga Rosenizam di Permatang Pasir.

“Mereka selamat cuma berada dalam keadaan yang sangat lemah dan urusan kini dibuat antara pihak berkuasa kedua-dua negara untuk membawa mereka pulang dalam masa terdekat ini.” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dua nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin ketika keluar memukat di perairan Pulau Undan pada Rabu lalu.

Majikan mangsa membuat laporan polis dan kali terakhir mereka berhubung kira-kira pukul 10 pada Khamis dan memaklumkan enjin bot gentian kaca bernombor pendaftaran  MKF 3861 yang digunakan mengalami kerosakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya