PASIR MAS: Dua lelaki tidak sempat menghantar seekor 11 ekor kerbau yang dipercayai diseludup dari Thailand selepas lori dinaiki mereka ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan kelmarin.
Kedua-dua lelaki berusia berusia 26 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi di Kampung Repek di sini semasa anggota PGA menjalankan rondaan rutin menerusi Op Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melaksanakan penugasan itu anggota PGA telah mengesan lori jenis Isuzu dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah menjumpai 11 ekor kerbau seberat 11 tan yang dipercayai diseludup dari Thailand melalui pengkalan haram.
“Kedua-dua suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kerbau tersebut ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal PGA di Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan termasuk lori berjumlah RM242,000 dan kes disiasat dibawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.-UTUSAN