PEKAN: Profesor Dr. Yatimah Alias, 55, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 13 Januari lalu.
Beliau mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang memegang jawatan itu bermula 1 Mac 2022 hingga 31 Oktober 2024.
Kehadiran Dr. Yatimah yang tiba bagi memulakan tugasan pertama hari ini disambut barisan pengurusan universiti dan warga UMPSA di bangunan Canseleri Tun Abdul Razak, universiti itu kampus Pekan di sini.
Yatimah yang merupakan Naib Canselor keenam dan wanita pertama yang dilantik Naib Canselor UMPSA menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir atas kepercayaan tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan buat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Azlinda Azman, Dr. Yuserrie dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA bermula 1 November 2024.
“Ini peluang yang begitu bermakna dalam hidup saya dan berharap dapat bekerjasama dengan semua staf. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk universiti terunggul dalam bidang teknologi dan kejuruteraan ini,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMPSA dilihat sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam penawaran program akademik melalui jalinan strategik di peringkat antarabangsa.
Dengan pengalaman luas dalam akademik dan antarabangsa, beliau mengharapkan usaha akan diteruskan bersama-sama warga UMPSA untuk terus mencapai kecemerlangan merealisasikan visi ke arah universiti teknologi terunggul.
Yatimah sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) di Universiti Malaya (UM) sejak 2022. Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Electrochemistry -Inorganic dari University of East Anglia, United Kingdom pada 1999 setelah menamatkan pengajian ijazah Sarjana Muda (1993) dan Sarjana dalam bidang Kimia di Universiti Malaya (1996).
Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014); Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018); dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari 2017 hingga 2022.
Yatimah menerima watikah pelantikan Naib Canselor baharu UMPSA pada 8 Januari lalu yang disampaikan oleh Zambry.
Seluruh warga universiti berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Dr. Yatimah sebagai Naib Canselor UMPSA yang baharu. – UTUSAN