KULAI: Seorang pemandu ehailing berputih mata setelah mengalami kerugian hampir RM150,000 apabila terjerat penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian, November lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, keuntungan lumayan sebanyak RM3.33 juta (AS$750,000) dalam tempoh dua minggu menyebabkan lelaki berusia 65 tahun gelap mata dan terus melabur.
“Lelaki tersebut dimaklumkan wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam satu akaun laman sesawang. Mangsa kemudian membuat 22 transaksi pembayaran berjumlah RM149,334 ke dalam 12 akaun berbeza bermula 12 November hingga kelmarin,” katanya dalam kenyataan.
Seng Lee berkata, mangsa membuat semakan dan mendapati memperoleh keuntungan RM1.61 juta dan cuba mengeluarkan keuntungan tersebut namun mendapati akaunnya disekat dan menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa telah tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.
“Pihak polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat,” katanya. – UTUSAN