Difitnah curi sawit: Presiden PSAP akan fail saman fitnah terhadap Exco Pahang - Utusan Malaysia

Difitnah curi sawit: Presiden PSAP akan fail saman fitnah terhadap Exco Pahang

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli akan memfailkan saman fitnah RM1 juta terhadap seorang ahli majlis mesyuarat (Exco) kerajaan negeri kerana memfitnahnya mencuri kelapa sawit di atas tanah bergeran di Gambang di sini.

Haslihelmy mendakwa, selain mencuri, Exco berkenaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang juga mengaitkan dan menyebut dengan jelas nama Presiden PSAP menyamar sebagai pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), wakil Menteri Besar dan membuat ugutan jenayah kepada pemilik tanah bergeran di Gambang di sini.

“Semua dakwaan tersebut tidak disokong dengan bukti bahawa Presiden PSAP berada di tempat kejadian mencuri kelapa sawit dan tiada saksi yang mendengar kenyataan saya mengaku sebagai PTG atau wakil dari MB atau membuat ugutan jenayah terhadap mana-mana pihak termasuk pemilik tanah bergeran disitu sehingga menimbulkan ketakutan kepada mereka.

“Perkataan digunakan Exco itu dalam ucapan semasa perjumpaan dengan pemilik tanah bergeran termasuk peneroka haram tanah kerajaan serta laporan polis palsu yang difailkan oleh peneroka haram tanpa usul periksa dan tidak disahkan terlebih dahulu dengan presiden PSAP telah diterbitkan, disebarkan dan tular di media sosial  yang mendedahkan Presiden PSAP kepada kebencian, cemuhan atau penghinaan masyarakat.

“Hantaran di media sosial itu membawa maksud Presiden PSAP telah merompak kelapa sawit dari tanah pemilik bergeran di Gambang, seorang yang berperangai buruk dan tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan atas kedudukan sebagai Presiden PSAP,” dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Haslihelmy mendakwa, kenyataan Chon Siang yang memetik namanya secara jelas berniat jahat dan laporan polis palsu yang difailkan peneroka haram dan pemilik tanah bergeran itu mengelirukan masyarakat untuk memberi gambaran dan persepsi salah kepada pembaca seolah-olah Presiden PSAP tidak beretika, pencuri kelapa sawit, tidak berintegriti, jelik mengeksploitasi atau tidak bermaruah.

“Setiap perkataan Exco dan peneroka haram tanah kerajaan sememangnya satu usaha memanipulasi, menipu, meraih simpati murahan dan mampu mempunyai taksiran fitnah. Chon Siang dan pemilik tanah bergeran gagal membuktikan semua unsur-unsur fitnah tersebut,” dakwanya.

Menurutnya, peguamnya akan menyerahkan notis saman melalui serahan tangan dan emel dan menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari, selain ganti rugi RM1 juta jika gagal berbuat demikian.

“Saya juga akan menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Akibat kenyataan itu, saya telah mengalami malu, aib dan tekanan perasaan yang melampau, mengalami kemurungan kerana dimalukan dan turut menjatuhkan reputasinya sebagai seorang pemimpin masyarakat,” dakwanya.

Menurutnya, susulan fitnah itu juga, beliau sudah pun membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan dibuat Exco berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.

Beliau turut menjelaskan berhubung status tanah kerajaan seluas 48.56 hektar di Gambang di sini yang mana syarikat tempatnya bekerja sudah memohon ‘tapping right’ mengeluarkan hasil sawit dari tanah kerajaan.

“Kawasan tersebut sudah diceroboh dan diteroka haram oleh beberapa individu sejak puluhan tahun yang mengakibatkan ketirisan hasil negeri. Saya ada memasuki tanah kerajaan tersebut pada dua minggu lalu untuk meninjau dan melihat sendiri tanah berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN