PASIR SALAK: Dua nelayan darat di sini berdepan detik cemas apabila hampir disambar buaya ketika sedang menjaring ikan di Sungai Kinta di sini, Jumaat lalu.
Menceritakan kembali detik cemas itu, Mustapha Kamal Nazry, 31, berkata, kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu berlaku ketika dia dan seorang rakannya menaiki bot untuk mengambil jaring ikan yang dipasang dalam sungai.
Katanya, sebaik sahaja sampai di kawasan jaring dipasang, dia ternampak tiga ekor buaya berdekatan jaring ikan lalu menyuluh ke arah reptilia itu dan ketika mahu menaikkan jaring, seekor daripada reptilia itu tersangkut pada jaring, lalu dia bertindak memukul haiwan itu menggunakan pendayung.
“Saya memukul buaya yang tersangkut itu dan haiwan berkenaan cuba melawan dan akhirnya terlepas daripada jaring dan menghilang seketika.
“Setelah menaikkan jaring dalam bot, kami menuju jeti untuk pulang dan ketika itu kami ternampak tiga ekor buaya di depan bot dan tanpa kami sangka, buaya tersebut melanggar bot kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bimbang disambar buaya, nelayan itu bertindak menghalaunya dengan memukul menggunakan pendayung namun haiwan itu melawan sehingga menyebabkan pendayung patah.
Mustapha berkata tidak lama selepas itu kedengaran bunyi yang agak kuat dari dalam air dan mereka mendapati kipas enjin bot patah, yang mungkin akibat dilanggar buaya berkenaan yang mengakibatkan enjin bot mati.
“Bot kami naiki terumbang ambing dan saya hampir terjatuh ke dalam sungai, namun saya cuba menyelamatkan diri dengan menghidupkan semula enjin bot dan sampai ke jeti atau pengkalan dengan selamat,” katanya.
Katanya dia tidak menyangka buaya di Sungai Kinta menyerang manusia kerana biarpun maklum mengenai kehadiran buaya di sungai berkenaan, namun belum ada kes serangan ke atas manusia.
“Berdasarkan kejadian itu, saya menjangkakan buaya menyerang kami itu bersaiz besar, justeru nasihat saya kepada nelayan darat di Sungai Kinta untuk sentiasa berhati-hati dan elakkan daripada turun ke sungai bersendirian sebaliknya berteman supaya jika apa-apa berlaku, ada rakan yang boleh menolong,” katanya.-UTUSAN.