Derita terlantar enam tahun akibat kemalangan - Utusan Malaysia

Derita terlantar enam tahun akibat kemalangan

MOHAMAD Izani Mohd. Rozi membantu menguruskan Muhammad Izwan Syafar yang hanya mampu terbaring selepas terbabit dalam kemalangan enam tahun lalu di Kampung Putu, Kerambit, Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang belia dari Kampung Putu, Kerambit di sini terlantar sejak enam tahun lalu akibat kemalangan jalan raya pada 2019.

Kemalangan itu menyebabkan Muhammad Izwan Syafar Mohamad Izani, 25, yang juga anak sulung dari tiga beradik mengalami kecederaan serius termasuk sebahagian tempurung kepala dibuang dan ditebuk di bahagian leher untuk memudahkannya bernafas.

Bapanya, Mohamad Izani Mohd. Rozi berkata, penderitaan anaknya itu bermula ketika kereta dinaikinya bersama tiga rakan terbabas sebelum melanggar tiang elektrik dan turut meragut nyawa seorang daripada mereka.

“Muhammad Izwan Syafar merupakan penuntut GiatMara Jerantut dalam jurusan kimpalan. Ketika kejadian dia bersama tiga lagi rakan dalam perjalanan pulang ke rumah sewa setelah membeli barang dapur sebelum terlibat kemalangan.

“Kejadian ini mengakibatkan anak saya koma dan menerima rawatan selama sebulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Putu, Kerambit di sini.

Mohamad Izani berkata, semua keperluan Muhammad Izwan Syafar dilakukan secara bergilir-gilir bersama isteri, Razana Mat Ail, 44, termasuk memberi susu khas melalui hidung, menukar lampin pakai buang dan memandi atau mengelap badannya setiap hari.

“Tahap kesihatan Muhammad Izwan juga tidak menentu kerana sering diserang sawan yang menyebabkannya perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lipis bagi mendapatkan rawatan.

“Perbelanjaan tinggi diperlukan untuk rawatan anak saya termasuk membeli susu khas berharga RM101 setin yang hanya bertahan  dua hari. Jadi saya perlu membeli sekurang-kurangnya  15 tin setiap bulan,” ujarnya.

Mohamad Izani yang kini tidak mampu lagi bekerja akibat kencing manis berkata, segala keperluan dan perbelanjaan keluarga kini bergantung sepenuhnya pada anak kedua, Muhammad Afizal Iqbal, 21, yang bekerja sebagai penghantar barang.

Jelasnya, walaupun Muhammad Izwan Syafar menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500 sebulan dan bantuan lampin pakai buang bernilai RM200 dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), ia belum mencukupi.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga Mohamad Izani boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank 6929816820 atau menghubungi talian 0109061343.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya