JERANTUT: Seorang wanita dari Felda Kota Gelanggi Empat, di sini cekal menguruskan suami yang terlantar kerana diserang angin ahmar selain mencari nafkah untuk menampung rawatan dan perbelanjaan keluarga.
Norlida Abd. Talib @ Abd. Razak, 63, mengambil alih perniagaan kedai kopi yang diusahakan suaminya, Abdul Rahman Aripin, 64, sejak 20 tahun lalu dengan dibantu seorang anak perempuannya setelah lelaki itu diserang angin ahmar pada April 2023.
Norlida berkata, serangan angin ahmar mengakibatkan Abdul Rahman hanya terlantar dan perlu disuapkan makanan serta minuman.
Berikutan itu, katanya, dia perlu membahagikan masa antara mengurus suaminya itu dan menjalankan perniagaan kedai kopi.
“Semasa membuka kedai kopi dan menjual makanan pada sebelah pagi, lazimnya dalam tempoh berselang 30 minit saya kembali ke rumah untuk melihat keadaan suami.
“Saya bimbang sekiranya dia terjatuh dari katil atau memerlukan makanan termasuk bantuan ke bilik air,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Norlida berkata, suaminya yang juga seorang peneroka di situ mendapat rawatan terapi sebulan sekali di Klinik Kesihatan Sungai Tekam Utara sejak dua tahun lalu, tetapi keadaan anggota kanannya masih tidak berubah dan tidak boleh bercakap.
Katanya, dia tetap meneruskan perniagaan roti canai, makanan dan lauk-pauk kerana memerlukan wang untuk menampung perbelanjaan barang keperluan dapur, modal perniagaan termasuk rawatan berkala serta bayaran bil mencecah RM2,000 sebulan.
“Perniagaan yang kecil dengan modal yang tidak seberapa menghasilkan pendapatan harian antara RM150 hingga RM200, tetapi bukan setiap hari kedai dibuka. Ketika suami agak uzur, saya tidak keluar berniaga,” katanya.
Dua berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana membantu meringankan beban kebajikan suaminya dan berharap ada pihak yang sudi membantu kebajikan mereka.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Norlida Abd. Talib menerusi talian 011-36132119 atau terus ke akaun Maybank bernombor 156141324494 (Abdul Rahman). – UTUSAN