KOTA TINGGI: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir diasingkan dan diberikan ruang tidur yang berasingan daripada mangsa lain di pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan bilik khas bagi memastikan mereka dapat mengulang kaji pelajaran dalam keadaan yang lebih selesa dan tenang.
“Pihak sekolah telah menyediakan bilik khas untuk calon SPM ini menjalani ulang kaji dan menyediakan bilik khas untuk mereka tidur. Calon ini tidak tidur dengan mangsa banjir di khemah. Jadi, keselesaan dan kesejahteran telah diberi kepada mereka.
“Di Johor juga kaedah sama, kita pastikan calon SPM mesti ada akses untuk duduki peperiksaan dan untuk tujuan itu kita beri kemudahan,” katanya selepas melawat PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota, di sini hari ini.
KPM juga memberi pilihan kepada calon sama untuk tinggal di asrama sekolah yang ada dan setakat ini tiada calon SPM yang terjejas banjir tidak hadir untuk menduduki peperiksaan itu.
Katanya, pada hari ini di daerah Kota Tinggi terdapat seorang calon yang menduduki subjek Matematik Tambahan, manakala pada Rabu depan ada sembilan calon SPM akan menduduki peperiksaan Sains.
Azman berkata, lawatannya ke tiga PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana dan SK Dato’ Usman Awang di sini untuk meninjau kemudahan yang disediakan pihak sekolah untuk anak-anak mangsa banjir.
“Anak mangsa banjir sama ada sekolah rendah dan menengah terlibat dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pelajar yang menjadi mangsa banjir dan ditempatkan di sekolah yang dijadikan PPS boleh meneruskan pembelajaran di situ.
“Seperti di SJKC New Kota ini, anak mangsa banjir juga belajar dan diterima dari pagi hingga tengah hari sesi pembelajaran. Jadi, mereka tidak perlu ke sekolah mereka sebelum ini, boleh belajar di sekolah dijadikan PPS yang mereka duduki dan ini minggu terakhir sesi persekolahan, tetapi kita manfaatkan,” katanya. – UTUSAN