KUANTAN: Keputusan Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara dihadapinya bukti afidavit dikemukan bukan bersifat khabar angin.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, surat Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu membuktikan afidavit dikemukakannya dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berasas.
“Badan Perhubungan UMNO Pahang melahirkan rasa syukur setelah Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Seri Najib memulakan prosiding semakan kehakiman tentang kesahihan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk beliau menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah.
“Di kesempatan ini, patik menjunjung setinggi-tinggi kasih ke sisi. Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperakukan kewujudan dan kesahihan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 sewaktu baginda masih lagi menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
“Keputusan ini telah memberi harapan kepada Najib dan keluarga serta kita semua untuk terus memberi kepercayaan kepada perjuangan beliau bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk mencabar perintah penahanan di rumah bagi baki hukuman penjara yang dihadapinya.
Sebelum itu, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah baru membacakan sebahagian surat daripada Al-Sultan Abdullah yang mengesahkan kewujudan perintah tambahan tahanan dalam rumah untuk Najib.
Antara isi surat itu berbunyi ‘Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak Sultan Pahang dengan ini memperakukan bahawa titah adendum termaksud adalah wujud dan sahih.’
Surat itu dibacakan pada prosiding permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu berkenaan titah tambahan itu.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri menegaskan bahawa parti berkenaan sentiasa menjunjung tinggi prinsip kedaulatan undang-undang dan menghormati proses kehakiman negara serta institusi diraja.
“Saya ingin menyeru kepada semua ahli UMNO untuk terus bersatu hati dan jangan biarkan sebarang isu memecahbelahkan perpaduan kita” katanya. – UTUSAN