Budak derita usus tersembul

Budak derita usus tersembul

MAT Noh Mohamed (kiri) menunjukkan usus yang terkeluar dari perut Mohd. Adam di Felda Kota Gelanggi Empat, Jerantut, Pahang. - MINGGUAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dari Felda Kota Gelanggi Empat, di sini hidup tidak seperti insan lain kerana sebahagian usus perutnya keluar dan dibantu dengan pemakaian beg stoma untuk membuang najis.

Bapanya, Mat Noh Mohamed, 55, berkata, derita ditanggung Mohd. Adam membuatkan anak keduanya itu menjadi seorang pendiam, malu, mengasingkan diri dan hanya cuma mengikutnya setiap kali keluar rumah.

“Mohd. Adam mengalami masalah di bahagian usus perut yang dikesan sejak dilahirkan apabila anggota dalaman itu pendek dan tersumbat,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.

Mat Noh yang berstatus orang kurang upaya (OKU) berikutan mengalami tulang paha pendek berkata, kerosakan usus anaknya semakin ketara ketika Mohd. Adam berusia dua tahun yang tidak dapat membuang najis melalui dubur selepas makan.

“Bermula daripada masalah berkenaan, anak saya menjalani pembedahan usus kali pertama di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dua tahun lalu bagi membolehkannya membuang najis.

“Selepas pembedahan, keadaan kesihatan Mohd, Adam tidak berubah dan usus masih tidak berfungsi dengan baik. Dia sekali lagi menjalani pembedahan tahun lalu sehingga sebahagian ususnya dibiarkan keluar dengan pemakaian beg stoma,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu anaknya dirawat selama sebulan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas) Temerloh akibat jangkitan kuman di usus dan dia masih menunggu tarikh untuk memasukkan semula usus ke dalam perut Mohd. Adam.

Mat Noh berkata, perpisahan dengan isterinya tiga tahun lalu memberikan kesan kepada dua orang anaknya yang di bawah tanggungannya.

“Anak sulung saya, Mohd .Razak bersekolah di tahun tiga juga memerlukan perhatian dan setiap kali dihantar dan diambil, saya membawa Mohd. Adam kerana tidak ada orang yang menjaganya,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh tetapi pergerakannya terhad berikutan tulang bahagian paha kanan pendek.

Katanya, dia berhenti kerja selepas berpisah dengan isteri untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada Mohd. Adam yang sakit dan persekolahan abangnya setiap hari.

“Walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai status pemegang kad OKU, ia hanya cukup untuk keperluan dapur dan tidak tahu cara macam mana lagi untuk perbelanjaan kebajikan dan rawatan Mohd. Adam pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya