KANGAR: Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di atas meja sebuah gerai makan di Kampung Rama, Kuala Sanglang, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, buat masa ini, pihaknya juga belum melakukan sebarang tangkapan berhubung kes tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi.
“Tidak dapat dipastikan lagi buat masa ini sama ada individu yang terlibat membuang bayi itu merupakan orang luar atau pun penduduk di sekitar kampung berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan mengenai penemuan seorang bayi perempuan cukup sifat di sebuah gerai di Jalan Kampung Rama, Kuala Sanglang, di sini, sekitar pukul 8 pagi.
Seorang penjaga setor, Mohamad Hasnol Jeffri, 43, bersama isterinya, Siti Mariam Abdullah, 37, menemukan bayi itu di dalam beg selepas mendengar suara tangisan sewaktu mereka ingin keluar bersarapan bersama.
Bayi cukup sifat itu yang masih bertali pusat ditemukan dalam sebuah beg yang ditinggalkan bersama kain pelikat dan dua helai tuala tanpa sebarang tulisan nota.
Dalam perkembangan sama, Yusharifuddin berkata, bayi berkenaan juga buat masa ini sedang menerima rawatan dan dipantau di hospital.
“Mengikut prosedurnya, bayi ini akan diserahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan seterusnya selepas ini,” katanya.-UTUSAN