Briged Tenggera PGA tumpas aktiviti penyeludupan rokok bernilai RM1.72 juta

Briged Tenggera PGA tumpas aktiviti penyeludupan rokok bernilai RM1.72 juta

SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas Briged Tenggara PGA dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar Kelantan.-IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok bernilai RM1.72 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan berasingan di sini, Tumpat dan Tanah Merah kelmarin serta semalam.

Rampasan melibatkan 4,613 karton rokok itu itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 6 petang kelmarin, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun di sebuah gerai menjual pisang goreng di Taman Jazna di sini.

Menurutnya, hasil soal siasat awal suspek mengaku menyimpan sejumlah rokok seludup di rumahnya Kampung Jaya Setia, Badang.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai 13 karton rokok seludup bernilai RM 4,862 di atas lantai bahagian ruang tamu. Suspek turut mengaku, menjual barangan tersebut secara kecil-kecilan kepada penduduk sekitar Kampung Jaya Setia.

“Siasatan mendapati, suspek mendapat bekalan rokok itu daripada adik iparnya yang dikenali dengan panggilan Kojek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, susulan penahanan suspek dan hasil soal siasat lanjut Cawangan Risik Briged Tenggara bersama Batalion 7 PGA menjalankan operasi di kawasan pangkalan haram Pulau Tengkorak, Tumpat pada pukul 5 pagi semalam.

Katanya, selepas satu jam melakukan pemantauan menggunakan dron, PGA berjaya mengesan sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak-kotak dari sebuah bot ke tebing Sungai Golok.

“Sejurus menyedari kehadiran anggota PGA, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke sebelah Thailand dengan menaiki bot. Pemeriksaan di kawasan pangkalan haram itu menjumpai 57 kotak berisi 2,850 karton rokok seludup yang bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai yang cuba diseludup dari negara jiran. 

“Hasil daripada kedua-dua serbuan itu, anggota PGA telah bertindak menyerbu sebuah sebuah kilang kayu lama yang sudah tidak beroperasi di Kampung Tok Che Dol, Tanah Merah kira-kira pukul 6 pagi pada hari yang sama,” ujarnya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang menyedari kehadiran pihak polis bertindak lolos ke kawasan hutan di belakang kilang tersebut dan pemeriksaan di bawah kanvas di kawasan kilang itu menjumpai sebanyak 1,750 karton rokok seludup bernilai RM654,500 termasuk cukai.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, kesemua rokok itu dipercayai diseludup melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia dan Thailand.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya