LOS ANGELES: Bintang tersohor dunia, Beyonce mengambil keputusan untuk menangguhkan pengumuman istimewa yang sepatutnya dibuat dua hari lepas.
Penangguhan itu dilakukan penyanyi dan pelakon itu bagi menghormati perasaan mangsa tragedi kebakaran di California yang setakat ini meragut 24 nyawa.
“Saya mendoakan agar keadaan keluarga yang trauma dan mengalami kehilangan segera pulih.
”Kita bertuah kerana adanya pihak keselamatan yang bekerja siang malam demi keselamatan masyarakat di Los Angeles,” katanya dalam kenyataan.
Beyonce ketika sambutan perayaan Hari Natal baru-baru ini memberi bayangan bakal membuat pengumuman penting susulan persembahan separuh masa Beyonce Bowl yang ditayangkan secara lansung di Netflix.
Pemberitahuan itu dibuat menerusi sebuah video yang dimuatnaik di Instagram.
Penyanyi yang popular dengan lagu Crazy In Love itu juga menyeru orang ramai agar sama-sama menyumbang untuk membantu mangsa yang terjejas akibat bencana tersebut.
“Tabung bencana BeyGOOD telah berjaya mengumpul AS$2.5 juta yang disumbangkan terus kepada keluarga yang terkesan.
”Sertai kami untuk membantu mereka yang terjejas teruk akibat tragedi ini,” katanya.