PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan yakin barisan kepimpinan yang baharu dilantik dapat memperkukuh parti mendepani pilihan raya akan datang.
Katanya, pelantikan itu juga ia membuktikan Bersatu tidak ketandusan pemimpin untuk mentadbir parti mahupun negara.
“Bersatu mampu menawarkan ramai tokoh yang segar dan bersemangat, termasuk muka-muka baharu yang tidak dicalarkan oleh perseteruan peribadi generasi sebelumnya.
“Persaingan politik yang dibawa oleh generasi baharu ini ialah persaingan sihat demi negara dan rakyat, selaras dengan prinsip berlumba-lumba mengerjakan kebaikan yang semestinya tidak menganggap saingan politik sebagai seteru peribadi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Semalam, Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar merupakan antara lima yang dilantik menjadi Ahli MPT Bersatu yang baharu.
Selain Noh, empat lagi yang dilantik ialah Datuk Harisson Hassan (Bahagian Kuala Selangor), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bahagian Kepala Batas), Danni Rais (Bahagian Jelebu) dan Alkaf Jaziri Abdillah Suffian (Bahagian Santubong).
Sementara itu Felo Penyelidik Bersekutu, Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd. Afifi Abdul Razak berkata, pelantikan baharu itu perlu bagi membolehkan Bersatu merangka strategi dan hala tuju menjadi pembangkang relevan.
“Mereka juga perlu memperkasakan struktur parti di peringkat akar umbi bagi meningkatkan sokongan dan kebolehpercayaan dalam kalangan rakyat.
“Selain itu, perlu buat mereka meningkatkan kerjasama dan koordinasi dengan parti-parti pembangkang lain untuk membentuk barisan pembangkang yang bersatu dan berpengaruh.
“Pada masa sama, mengemukakan dasar dan cadangan alternatif yang bernas dan realistik sebagai respon kepada inisiatif kerajaan,” katanya ketika dihubungi.-UTUSAN.