KEMAMAN: Anak kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang dibelasah di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, di sini, Jumaat lau mahu nasib bapanya mendapat pembelaan dan berharap semua pelaku dihadapkan ke mahkamah.
Anak sulung lelaki itu, Nurul Fathia Ahmad Al Faizan, 24, berkata, keluarganya mahu semua pelaku yang menyebabkan bapanya, Ahmad Al Faizan Jusoh, 47, mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kepala dikenakan hukuman setimpal.
“Hanya mereka yang tidak berhati perut dan tiada perasaan sahaja tidak sedih melihat Abah saya diperlaku sedemikian rupa. Abah bukan hanya dipukul dan ditendang malah turut diseret di tengah-tengah pasar itu.
“Kami tidak akan menarik laporan polis dan menunggu pihak berkuasa melakukan siasatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurul Fathia berkata, dia dan keluarganya tidak dapat menerima apa yang berlaku terhadap ketua keluarga mereka itu.
“Sehingga sekarang pun, saya tak sanggup lihat video Abah diperlakukan dengan begitu kejam. Saya tak sanggup tengok Abah menahan kesakitan. Saya mohon orang ramai berhenti sebarkan video Abah. Video itu sangat memberi kesan kepada keluarga kami,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga termasuk ibunya, Faridah Abdul Karim, 44, berterima kasih kepada beberapa individu yang cuba menghalang kejadian itu.
“Kami difahamkan ada beberapa individu yang melarang pelaku yang memukul Abah, namun terlalu ramai yang memukul sehinggakan mereka tidak dapat menghalang kejadian itu dari terus berlaku,” katanya.-UTUSAN.