Benteng takungan pecah: Punca gagal tampung air tiga meter

Benteng takungan pecah: Punca gagal tampung air tiga meter

Benteng pecah
IZHAM Hashim meninjau benteng kolam takungan yang pecah dekat Taman Seri Alam, Saujana Utama, di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kegagalan menampung kapasiti air setinggi tiga meter dipercayai punca benteng kolam takungan air berdekatan Taman Seri Alam, Saujana Utama, dekat sini, pecah sehingga berlaku banjir, kelmarin.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, reka bentuk kolam milik sebuah syarikat pemaju itu hanya menampung tadahan air setinggi dua meter.

Menurutnya, bagaimanapun paras air pernah melebihi jumlah itu namun kembali terkawal dalam tempoh satu hingga dua jam.

“Namun, insiden kali ini berlaku berikutan kolam itu menampung air yang banyak dalam tempoh lama sekali gus menyebabkan limpahan dan tebingnya pecah. Ia juga mungkin ada kelemahan reka bentuk kolam yang perlu diperbaiki pihak pemaju,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan penduduk mendesak pemaju menutup kolam takungan pecah itu yang menyebabkan banjir sehingga menjejaskan hampir 200 rumah kelmarin.

Pengerusi Persatuan Penduduknya, Sazali Basran memaklumkan pihaknya pada 19 Oktober lalu membuat aduan selepas kolam itu mula menunjukkan tanda retak dan air memancut keluar dari dinding takungan.

Namun, katanya, tindakan hanya sekadar menebuk lubang pada dinding kolam bagi mengurangkan tekanan air tanpa menyelesaikan masalah sebenar.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu menyebabkan penduduk mengalami kerugian besar mencecah puluhan ribu ringgit kerana banjir turut berlumpur hingga menjejaskan kediaman, perabot dan kenderaan.

Izham, kemudian memaklumkan pihaknya menemui pemaju bagi meneliti langkah jangka masa pendek menyelesaikan isu berkenaan.

“Ia memfokuskan pengukuhan tebing dengan membina semula struktur selain mendalamkan lagi kolam. Bagi jangka masa panjang, kita juga turut meneliti untuk menaik taraf parit dan longkang di sekitar kawasan itu bagi menampung kapasiti aliran air,” ujarnya.

Tambah beliau, kejadian itu kali pertama melibatkan kolam takungan dan penutupannya dikhuatiri akan mengakibatkan banjir lain di kawasan tersebut.

“Kerajaan negeri terus memantau kerana ia melibatkan banjir walaupun kolam itu di bawah pemaju. Selain itu, satu pertemuan antara pemaju dan wakil penduduk akan diadakan pada Khamis ini bagi membincangkan isu tersebut secara terperinci,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya