KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengendali air di Johor didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi dua pertuduhan menipu syarikat berkenaan RM3.38 juta, dua tahun lalu.
Muhamad Faizal Aliar, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Faizal didakwa menipu Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd. dengan memperdaya syarikat itu untuk mempercayai bahawa ‘Program Imarah Ramadan 2023’ akan dilaksanakan seperti mana dinyatakan dalam surat permohonan sumbangan bertarikh 1 April 2023.
Perbuatan itu mendorong syarikat berkenaan membuat pembayaran sebanyak RM82,500 sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu syarikat sama dengan memperdaya syarikat itu untuk mempercayai ‘Program Prihatin Komuniti Madani 2023’ akan dilaksanakan seperti mana dinyatakan dalam surat permohonan sumbangan bertarikh 4 April 2023.
Ia turut mendorong syarikat berkenaan membuat pembayaran sebanyak RM3.3 juta sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.
Kedua-dua transaksi pembayaran itu dimasukkan ke dalam akaun bank milik Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia pada 13 dan 14 April 2023 di Menara Felda Platinum Park di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir menawarkan jaminan sebanyak RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan.
Bagaimanapun, peguam bela, S. Preakas yang mewakili tertuduh memohon pengurangan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya kini menganggur dan perlu menanggung keluarga.
“Buat masa kini, tertuduh tidak bekerja dan sedang mengalami komplikasi tulang belakang yang memerlukan rawatan di hospital. Dia juga perlu menanggung empat orang anak yang masih bersekolah dan dua daripadanya merupakan anak istimewa.
“Mohon jasa baik mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan kepada RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menetapkan 3 Mac hadapan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN