KUALA RLUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merujuk kertas siasatan berhubung isu buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ membabitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 10 Januari lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada pihak AGC untuk tindakan seterusnya.
“Setakat ini kita menerima sebanyak 182 laporan polis berkaitan isu terbabit.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Kanun Keseksaan dan kertas inkuiri polis (KEP),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Disember lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut sebelum ini memaklumkan akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang memberi gambaran kononnya beliau berhasrat memurtadkan orang Muslim atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
Beliau dilaporkan berkata, penyebaran video dan mesej berniat jahat itu dikhuatiri boleh menjejaskan rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Hannah terhadap Musa berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah univerisiti empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Hannah menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Susulan itu, beberapa pihak tampil membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Hannah yang disifatkan sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.