Bayi perlu dana RM110,000 bedah jantung - Utusan Malaysia

Bayi perlu dana RM110,000 bedah jantung

MOHAMAD Noah Zayyan Mohamad Zulkifli memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM110,000 bagi menjalani pembedahan segera akibat kecacatan jantung serius.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang bayi lelaki baru dilahirkan kira-kira dua minggu yang lalu, kini memerlukan sumbangan orang ramai sebanyak RM110,000 bagi membolehkan dia menjalani pembedahan segera akibat kecacatan jantung serius.

Mohamad Noah Zayyan Mohamad Zulkifli sebelum itu dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) apabila seluruh badannya menjadi kebiruan akibat kekurangan oksigen selepas dilahirkan.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi itu kemudian disahkan mengalami transposisi arteri besar (TGA), kecacatan septum atrium (ASD), kecacatan septum ventrikel (VSD) dan ‘patent ductus arteriosus’ (PDA) oleh doktor yang merawatnya.

“Doktor juga sudah melakukan pembedahan ‘balloon atrial septostomy’ (BAS) sehari selepas bayi ini lahir untuk melanjutkan hayatnya sementara menunggu pembedahan utama,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Sui Hau, pembedahan utama perlu dibuat sebelum usia bayi tersebut mencecah satu bulan dan jika ia tidak dilaksanakan, jantung Mohamad Noah Zayyan berisiko gagal berfungsi serta tiada rawatan lain yang dapat menyelamatkannya.

Sui Hau berkata, keluarga bayi berkenaan amat berharap agar dapat melihat anak sulung mereka itu dapat meneruskan hidup, namun, tidak mampu untuk menampung kos pembedahan yang sangat tinggi.

“Bapa bayi, Mohamad Zulkifli Ibrahim, 31, bekerja sebagai penyelia ‘scaffolding’ dengan pendapatan sekitar RM4,600 sebulan dan ibunya, Siti Nur Nadia Hasmizam, 23, suri rumah,” katanya.

Tambah Sui Hau, orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare di nombor 3201428817 atau melayari laman sesawang onehopecharity.org atau boleh menghubungi talian hotline, 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya