PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan dilaporkan mengalami pendarahan di kepala akibat diserang sawan ketika berada di rumah pengasuh di sini, kelmarin.
Ketika kejadian, bayi berkenaan sedang dimandikan oleh pengasuhnya di sinki sebelum mula menangis sehingga diserang sawan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bapa mangsa menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan anaknya tidak berhenti menangis sebelum terkena sawan.
“Bapa bayi tersebut yang berusia 28 tahun bergegas ke rumah pengasuh sebelum membawa mangsa ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan segera.
“Hasil pemeriksaan di hospital mendapati terdapat pendarahan pada bahagian kepala mangsa. Mangsa kini ditempatkan di zon merah untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bayi tersebut dihantar ke rumah pengasuh itu sejak dua bulan lalu bersama abangnya.
Bayi itu dikatakan dalam keadaan baik semasa dihantar ke rumah pengasuh berkenaan.
“Sebelum itu, bayi tersebut ditidurkan di buaian yang disediakan di bilik bayi. Sekitar pukul 9.30 pagi, pengasuh memandikan mangsa di sinki di dalam bilik tersebut selepas bayi itu bangun dari tidur.
“Bagaimanapun, mangsa mula menangis tanpa henti sebelum diserang sawan,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan.