‘Bayar tunggakan sewa jika mahu kemudahan baharu’ - Utusan Malaysia

‘Bayar tunggakan sewa jika mahu kemudahan baharu’

SUNDARAJOO (tengah) ketika sidang akhbar mengenai pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf bangunan pangsapuri PPR Taman Manggis di George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penghuni Skim Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini digesa untuk membayar tunggakan sewa serta penyelenggaraan kawasan pangsapuri itu yang sehingga kini telah mencecah RM177,521 sejak ia beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyukarkan mereka untuk menikmati kemudahan baharu termasuk menerima kad akses bagi memasuki pangsapuri tersebut selepas ini.

Beliau berkata, hal ini demikian kerana, kawasan kediaman itu dijangka mengguna pakai sistem kad akses yang akan dikuatkuasakan mulai Februari ini.

“Sebelum ini (sejak 2021), kerajaan negeri membelanjakan sehingga RM2.30 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan di PPR Taman Manggis. Bagaimanapun, kos itu melebihi daripada kadar sewa yang dikutip untuk tempoh yang sama.

“Jadi, saya menyeru agar mereka (penghuni PPR Taman Manggis) untuk segera membayar tunggakan atau memperbaharui perjanjian (sewa) bagi memastikan kad akses tersebut dapat diterima sebelum sistem (kad akses) dikuatkuasakan mulai 1 Februari ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf PPR Taman Manggis iaitu melalui pemasangan pagar automatik (gate barrier) dan sistem kad akses yang memakan masa empat bulan telah siap dilaksanakan pada 9 Disember lalu dengan kos sebanyak RM254,315.

Katanya, projek itu mengguna pakai peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu di bawah Program Penyenggaraan Perumahan (PPP).

Sundarajoo berkata, selain memasang pagar automatik dan kad akses, kerja-kerja menaik taraf lain yang dilakukan termasuk membina pondok pengawal baharu dan menaik taraf pondok pengawal sedia ada serta pemasangan empat unit kamera litar tertutup (CCTV) di pagar automatik.

“Setiap unit (penghuni) akan dibekalkan dengan tiga kad akses (bagi akses di pagar) dan tiga token (akses di lif). Saya difahamkan penyerahan kad akses dan token tersebut telah dilaksanakan pada 11 Januari lepas iaitu melibatkan 129 unit (penghuni) telah berjaya menerima kad akses tersebut.

“Baki sebanyak 136 unit masih belum menerima disebabkan mempunyai tunggakan, tiada perjanjian atau hilang kelayakan,” katanya yang sekali lagi menggesa agar penghuni yang berkenaan segera membayar tunggakan untuk memudahkan segala urusan.

Projek Skim PPR Taman Manggis yang mempunyai 17 tingkat dan 320 unit kediaman dibuka sejak 2006 dan kini mempunyai 307 penghuni dengan kadar bayaran sewa serta penyelenggaraan bulanan sebanyak RM124.

Bagaimanapun, daripada 307 penghuni itu, hanya 214 daripada mereka mempunyai perjanjian aktif manakala selebihnya masih belum memperbaharui perjanjian dengan 20 kes hilang kelayakan, 62 kes penukaran nama serta 11 kes melibatkan penghuni yang belum membuat sebarang pengemaskinian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya